Perlunya Sudut Membaca Di Rumah Sendiri
Perpustakaan merupakan suatu gedung yang dipenuhi dengan bahan-bahan bacaan seperti buku, majalah, jurnal dan lain-lain. Anda dibenarkan untuk membaca buku-buku ini semua secara percuma. Anda juga boleh meminjam buku-buku tersebut untuk membacanya di rumah.
Tujuan perpustakaan dibangunkan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menggalakkan masyarakat membaca. Boleh dikatakan setiap orang yang berada di dalam perpustakaan itu akan terdorong untuk membaca buku. Hal ini kerana pengaruh positif persekitaran di dalam perpustakaan itu sendiri yang mempunyai banyak buku.
Bukan itu sahaja, aura positif orang-orang lain di dalam perpustakaan itu turut memberi pengaruh besar kepada seseorang yang berada di dalam perpustakaan itu untuk membaca. Sebagai contoh Individu A merupakan seorang yang tidak suka membaca tetapi dia masuk ke dalam perpustakaan untuk menemani rakannya yang ingin membaca di dalam perpustakaan itu. Mungkin pada awalnya, Individu A tidak membaca sebaliknya hanya duduk menemani rakannya. Namun, lama-kelamaan, Individu A akan terdorong untuk membelek-belek buku yang ada di perpustakaan itu seterusnya memilih buku yang kena dengan dengan citarasanya kemudian membaca buku tersebut.
Begitulah hebatnya aura positif perpustakaan dalam mempengaruhi seseorang itu untuk membaca. Lebih lama seseorang itu berada di dalam perpustakaan, lebih banyak aura positif tersebut mempengaruhinya dan lebih banyak buku akan dia baca.
Ada yang bertanya apakah tips untuk meningkatkan pembacaan. Jawapannya mudah! Pergi sahaja ke perpustakaan. Nescaya semangat membaca akan meningkat serta merta dan sudah pastilah banyak buku akan dibaca. Namun, jawapan ini agak kurang sesuai dalam beberapa situasi. Bagaimana jika seseorang itu tinggal jauh di kawasan pedalaman dan jarak rumahnya dengan perpustakaan adalah sangat jauh? Sudah pastilah dia sukar untuk pergi ke perpustakaan.
Satu cara alternatif yang boleh diambil dalam meningkatkan pembacaan adalah dengan membawa perpustakaan tersebut ke dalam rumah anda. Sekiranya mampu, wujudkanlah perpustakaan mini dalam rumah. Sediakan satu bilik kosong yang tidak digunakan, lalu penuhkan bilik itu dengan buku-buku. Sediakan meja dan kerusi. Siap! Perpustakaan mini anda sudah tersedia.
Sekiranya tidak ada bilik kosong, cukuplah sekadar anda menyediakan ruangan ataupun sudut membaca di rumah. Sudut ini tidak perlu besar dan luas. Kecil sahaja sudah mencukupi. Sebagai contoh, gunakan salah satu sudut kecil di ruang tamu rumah. Letakkan rak buku di sudut tersebut.
Penuhkan rak itu dengan bahan-bahan bacaan seperti buku, majalah dan lain-lain. Anda juga boleh menyediakan kerusi di sudut itu bagi keselesaan anda untuk membaca. Aura positif seperti yang terdapat dalam perpustakaan kini berada di dalam rumah anda. Anda dan keluarga akan terdorong untuk membaca dengan adanya sudut membaca tersebut. Pastikan juga sudut membaca sentiasa kemas dan buku-buku yang berada di situ tersusun dengan rapi.
Berkaitan dengan buku pula, jangan sesekali berkira untuk membeli buku. Membeli buku umpama melabur untuk ilmu. Banyak ilmu yang bakal anda peroleh hasil daripada ringgit yang anda laburkan itu. Jadi, belilah buku yang menepati citarasa anda dan letakkan buku tersebut di sudut bacaan anda. Lebih banyak buku di sudut membaca rumah anda, lebih anda akan tertarik untuk membaca sebenarnya kerana semangat anda untuk menghabiskan bacaan semua buku tersebut akan semakin tinggi.
Jadi, ayuhlah wujudkan sudut membaca di rumah masing-masing. Semoga usaha ini mampu menyemarakkan lagi minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia di samping dapat merealisasikan hasrat gagasan Malaysia Membaca yang diperkenalkan oleh kerajaan khas untuk menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Majulah Malaysia dengan membaca!
Kredit Oleh: ISKANDAR ZULFAQAR
Leave a Reply